UK akan bentang cadangan no. pendaftaran dan had laju untuk basikal bagi cegah tunggangan berbahaya

16

[ad_1]

Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps sudah pun mencadangkan untuk mengenakan had laju serta memberikan nombor pendaftaran untuk basikal, dan ia akan dibentangkan di Parlimen negara berkenaan pada lewat tahun ini, menurut laporan akhbar tempatan Wiltshire Reside.

Undang-undang berkenaan akan dikuatkuasakan untuk mengelakkan “kemalangan maut disebabkan tunggangan basikal yang merbahaya,” dan Shapps menyatakan bahawa beberapa tabiat penunggang basikal di atas jalan raya perlu dihentikan. Beliau menyatakan bahawa buat masa sekarang penunggang basikal tidak akan dikenakan undang-undang sekiranya menunggang dengan laju, dan perkara ini perlu diperbetulkan dengan turut mengenakan had laju untuk basikal.

“Secara khususnya di mana terdapat lebih banyak jalan raya dengan had laju 20 batu sejam (32 km/j), penunggang basikal dengan mudah melebihi had laju tersebut, jadi saya mahu had laju berkenaan turut membabit penunggang basikal” tambah Shapps. Beliau turut menyatakan bahawa untuk mengenal pasti penunggang basikal yang melanggar undang-undang berkenaan, kerajaan mungkin akan mewajibkan basikal untuk mempunyai nombor pendaftaran dan insuran atau kaedah lain bagi tujuan tersebut.

“Saya tidak nampak sebab mengapa penunggang basikal perlu melanggar undang-undang jalan raya, mengapa mereka perlu laju, mengapa mereka perlu melanggar lampu merah dan boleh terlepas dari sebarang tindakan,” kata ahli Parlimen Britain itu lagi.

Buat masa sekarang, penunggang basikal yang menjadi punca kemalangan maut terhadap pejalan kaki di UK hanya boleh dipenjara selama dua tahun. Pengenalan undang-undang baharu ini kelak dijangka bakal menutup kelemahan undang-undang sedia ada tersebut.



[ad_2]
Source link