Jangan berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya SUKE untuk mengambil gambar – Menteri Kerja Raya

17

[ad_1]

Ketika melancarkan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) semalam, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof sempat berpesan kepada orang ramai agar jangan berhenti di lorong kecemasan di lebuhraya berkenaan untuk mengambil gambar.

Ini kerana SUKE yang menampilkan rekaan bertingkat (elevated atau seakan terapung) menyajikan pemandangan yang begitu cantik menghadap Bandaraya Kuala Lumpur, yang mungkin menarik minat orang ramai untuk bergambar di kawasan berkenaan seperti yang berlaku di Jalan Temiang-Pantai, Negeri Sembilan.

Dalam pelbagai insiden yang berlaku di Temiang-Pantai sebelum ini, pihak Polis DiRaja Malaysia sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Larangan Terhadap Halangan’ dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Lorong Kecemasan’, yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalulintas.

Menurut Polis lagi berhubung kejadian-kejadian yang berlaku di “New Zealand Malaysia” di Negeri Sembilan itu sebelum ini, pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam, dan mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

default

Walau bagaimanapun pihak pemaju lebuhraya SUKE iaitu Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd atau PROLintas) sudahpun menyedari potensi yang ada pada jajaran lebuhraya ini, dan ia bakal membangunkan sebuah fasiliti Rehat dan Rawat (R&R) di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan.

Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah ketika majlis taklimat kepada media Rabu lalu, kawasan Rehat dan Rawat berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL Metropolis Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan itu. Antara pemandangan yang boleh dilihat di kawasan tersebut termasuk empat bangunan ikonik di bandaraya berkenaan iaitu Menara KL, Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka 118 serta Menara Change 106 (TRX).

Selepas dirasmikan semalam, Lebuhraya SUKE telahpun mula dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula pukul 12 tengah hari tadi. Kadar tol untuk lebuhraya ini masih belum diumumkan, namun ia dibuka percuma terlebih dahulu untuk tempoh masa sebulan.

Walau bagaimanapun pembukaan permulaan ini hanya untuk Fasa 1 yang membabitkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km dengan 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.

Manakala pembukaan Fasa 2 iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) sejauh 7.8 km dengan tiga persimpangan dan satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai dijangka siap pada suku pertama 2023.

Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan secara keseluruhan.

Pembinaan Lebuhraya SUKE ini disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Menurut PROLintas, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak.

SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Freeway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

Lebuhraya SUKE ini merupakan Lebuhraya yang cukup unik kerana 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah. Ini membolehkan ia merentas kawasan bandar yang sesak, dan tidak mengganggu kawasan yang masih dibiar sebagai kawasan hijau.



[ad_2]
Source link